Tuesday, August 30, 2005

Menjelang 31 Ogos

Terdetik di sudut hati yang telah sekian lama meronta-ronta untuk berasak-asak menyeberangi tambak sempit itu untuk menyatakan rasa rinduku pada tanah yang bergelar Malaysia, bisakah aku menabur budi sementelah aku terbias mengikut takdir perjalanan hidupku? Walhal memang sudah menjadi kebiasaanku meneropong dari jendela rumahku, betapa hampirnya aku kepadanya. Terlonjak-lonjak hatiku setiap kali dapat melihat sebarang pergerakan di Pasir Gudang, tidak jauh dari kediamanku. Rindu.
Bukan sahaja kepada sanak saudaraku, pada aneka selera rasa, malah kepada aroma yang sering menggeletek rongga hidungku suatu waktu dulu. Seringkali tercetus jua kenangan tempatku bermain, detik gembira dan detik hiba serta wajah-wajah yang kukasihi.Walaupun jasadku di sini, jelaslah sudah di mana duduknya jiwa ragaku. Walaupun dekat namun tak tergapai kekerapan mendakapimu semahu hatiku. Walau jauh, kau sentiasa bersemarak di hatiku. Sedang kau mengukir kegemilangan ke-48, kubingkiskan salam kasih dari anak watan kerinduan dengan doa syahdu agar kau sentiasa gah dalam kebebasan dan kemerdekaan hakiki. Syabas Malaysia! Negaraku.
Omak, den nak balik...kobau semolih lah sekor duo.

No comments: